Piala FA: Kedah vs Selangor tentukan juara

Juara bertahan, Kedah akan bertemu Selangor pada perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu ini selepas membenamkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir, semalam.
Kedah yang menang 4-1 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri 14 Jun lalu, meneruskan kecemerlangan dengan sekali lagi menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur.
Satu gol pada setiap babak menerusi Khyril Muhymeen Zambri (m-9) dan Badrol Bakhtiar (m-51) cukup memberi keselesaan buat Kedah untuk mara menerusi agregat 6-1.
Tidak banyak yang dapat dilakukan Pahang untuk mengurangkan defisit jaringan gol walaupun beraksi di tempat sendiri.
Sementara itu dalam satu lagi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selangor hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun itu sudah cukup untuk melayakkan mereka ke perlawanan akhir hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di tempat sendiri minggu lalu.
Selangor yang mara dengan agregat 3-2 lebih dulu membuka jaringan menerusi R. Surendran (m-48) sebelum Terengganu menyamakan kedudukan menerusi Mat Ashaari Shamsuddin (m-69).
Perlawanan akhir antara Kedah dan Selangor akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini pada pukul 8.45 malam.

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home

Blogger Template by Blogcrowds.