Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini diraikan segenap lapisan rakyat dalam suasana gilang-gemilang dan penuh tradisi Kesultanan Melayu.
Upacara kira-kira tiga jam itu bermula dengan perarakan diraja sejauh 3.2 kilometer bermula dari Wisma Darul Aman sehingga ke Balai Besar di depan Masjid Zahir di bandar raya ini.
Perarakan penuh warna-warni dan adat-istiadat itu turut dimeriahkan dengan perbarisan 10,000 murid sekolah di bahu jalan bermula dari persimpangan Wisma Darul Aman menuju ke persimpangan Jalan Putra.
Sultan Kedah diputerakan pada tanggal 28 November 1927 dan menaiki takhta kerajaan negeri Kedah Darul Aman pada 15 Julai 1958 setelah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah mangkat.
Pada 20 Februari 1959, baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Tuanku Bahiyah Tuanku Abdul Rahman ditabalkan secara rasmi sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar di sini.
Hari ini, genap 50 tahun pemerintahan baginda di bumi Kedah Darul Aman dan pelbagai acara diatur bagi memeriahkan lagi sambutan itu.